KUCHING: Polis Sarawak menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan kes rusuhan di sebuah kedai makan di Matang, lewat malam Sabtu.

Sumber polis memberitahu, kesemua suspek merupakan rakyat tempatan berusia sekitar 26 hingga 40 tahun.

Katanya, mereka ditahan ketika berada di hadapan premis berkenaan dan beberapa tangkapan lain dilakukan selepas suspek dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Satok dan Balai Polis Padawan.

Insiden dipercayai berlaku apabila pekerja kedai makan tersebut didatangi seorang lelaki dikenali dengan nama Ah Lai bersama 10 lelaki masing-masing membawa senjata tajam.



Disebabkan rusuhan itu, seorang lelaki yang merupakan rakan pekerja kedai yang berusia 28 tahun mengalami kecederaan di tangan kanan dan kepala serta kaki kirinya.

"Ia dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung pembahagian syer dan keuntungan perniagaan serta hutang yang belum diselesaikan," katanya kepada Astro AWANI.

Terdahulu, dalam kejadian sekitar jam 11 malam itu tiga individu cedera, termasuk seorang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak.

Kesemua yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Bagaimanapun setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berhubung kejadian itu.